Alunan azannya mampu menitiskan air mata. Kerinduan kepada Rasulullah SAW datang bertandang menambah pilu tatkala suara lelaki ini menyebut kalimah seruan solat. Kisah hidupnya mempertahankan akidah benar-benar dikagumi.

Ketika Rasulullah SAW dilindungi bapa saudara Baginda dan Saidina Abu Bakar pula dilindungi sukunya, Bilal bin Rabah tidak mempunyai kekuatan sosial untuk membela dirinya dalam mempertahankan pegangan agamanya.
Beliau dihukum secara kejam oleh majikannya, Umaiyah bin Khalaf sebelum diserahkan kepada pemuda kafir yang bengis dan kasar serta diarak mengelilingi kota kerana kekuatannya mempertahankan kalimah “Ahad, Ahad” yang tidak lekang di bibirnya.


Sanggup didera

Bilal adalah lelaki keturunan Afrika atau lebih tepatnya Habsyah, seorang hamba sahaya berkulit hitam legam, namun dikurniakan hati yang suci bak kapas tidak ternoda. Kerana itulah beliau mudah menerima hidayah sehinggakan sanggup didera selepas keimanannya diketahui sebelum dibebaskan Abu Bakar.

Dikisahkan, pernah pada satu hari Rasulullah SAW memanggil Bilal untuk menghadap. Rasulullah SAW ingin mengetahui kebajikan apakah yang menjadikan Bilal mendahului berjalan masuk ke syurga berbanding Baginda.

“Wahai Bilal, aku mendengar gemersik langkahmu di depanku di dalam syurga. Setiap malam aku mendengarnya.”
Dengan wajah tersipu-sipu, Bilal menjawab: “Ya Rasulullah, setiap kali saya berhadas, saya terus berwuduk dan solat sunat dua rakaat.” Kata Rasulullah: “Ya...dengan itu kamu mendahului aku...”

Selepas sekian lama Rasulullah SAW meninggalkan dunia, Bilal bermimpi didatangi Baginda. Rasulullah SAW menyatakan kerinduannya dan begitu juga Bilal yang sangat merindui wajah Rasulullah SAW dan haruman Baginda.

Kisah mimpi Bilal itu tersebar dan menjadikan seluruh Madinah dirundung pilu. Penduduk Madinah sepakat mahu Bilal mengumandangkan azan Maghrib jika tiba waktunya, pada hal beliau sudah lama tidak menjadi muazin sejak ketiadaan Rasulullah SAW.

Selepas didesak, Bilal menerimanya dan tatkala suara Bilal kedengaran, seketika Madinah seolah tersekat oleh sejuta memori. Tidak terasa hampir semua penduduk Madinah menitiskan air mata. “Marhaban Ya Rasulullah...” bisik mereka.

Enggan lagi jadi muazin

Bilal tidak mahu lagi mengalunkan azan selepas penuh sebak mengumandangkan seruan itu beberapa saat selepas Malaikat Maut menjemput kekasih Allah, Ya Rasulullah. Lafaz kalimat, “Asyhadu anna Muhammadarrasulullah” mengundang tangis seluruh Madinah. Selepas itulah Bilal enggan lagi untuk menjadi muazin.

Kali terakhir beliau melaksanakan tugas sebagai muazin ialah ketika Umar bin Khatab menjadi khalifah. Ketika itu Bilal sudah bermukim di Syria dan Umar mengunjunginya.

Ketika waktu solat tiba, Umar memintanya melaungkan azan. Bilal naik ke menara dan bergemalah suaranya, sekali gus menyebabkan semua sahabat Rasulullah SAW menangis. Umar antara yang paling kuat menangis.

Itulah azan terakhir Bilal yang hatinya tidak mampu menahan kerinduan kenangan manis bersama manusia teragung, Nabi akhir zaman.