Hatta Mikasa

Friday 12 April 2013



Tanda-tanda Allah Taala Dekat di Sisi HambaNya
                                                            Description: http://drjuanda.com/wp-content/uploads/2012/02/www.omaQ_.org079.jpg
”Ya Allah haramkanlah kulit, darah, daging dan tulangku daripada api neraka.” Demikianlah doa seorang hamba yang datang kepada Tuhannya membawa penyesalan. Maka tiada kegembiraan melebihi kegembiraan Allah Taala mendengar rintihan hamba-Nya itu. Dan tiada pandangan yang lebih bernilai daripada pandangan rahmat Allah SWT ke atasnya. Kekotoran dibalas dengan kesucian, airmata digantikan dengan perasaan bahagia yang menyelimuti diri, dalam kesusahan dapat juga dirasai erti kenikmatan. Iaitu kenikmatan diterima menjadi hamba-Nya yang dekat dan rapat.
Allah Taala berfirman yang bermaksud: ”Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada kamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang-orang yang berdoa kepada-Ku, hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi orang-orang yang mendapat petunjuk.” Surah al-Baqarah: Ayat 186.

Antara tanda-tanda dekatnya seorang hamba kepada Allah Taala ialah:
i. Gementar hatinya apabila disebut nama Allah SWT.
Dalam keadaan apapun dia tetap meletakkan kesucian dan keagungan Allah SWT berada pada tempat yang tertinggi dalam hatinya. Gementar hati bermakna hati yang terfokus kepada mencari reda Allah SWT. Hati yang sentiasa jujur dalam hubungan dengan Tuhannya. Tidak ada perbezaan ketika susah atau senang, sendirian atau berada di tengah-tangah manusia yang ramai, hatinya tetap setia, jujur dan ikhlas mencintai Tuhannya. Orang yang bercinta semestinya bergetar hati bila disebut nama yang dicintainya. Gementar bukan cuma bermakna takut tetapi juga rindu dan bahagia. Dia yakin bahawa Allah dekat di sisi. Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Sesungguhnya orang yang beriman itu hanyalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka.” (Surah Al-Anfal: Ayat 2)
ii. Imannya sentiasa bertambah. 
Setiap hari dia seolah-olah menaiki anak-anak tangga menuju puncak reda Allah SWT. Ada yang terjatuh dan kembali bangkit, ada yang duduk diam tidak mahu mendaki, ada pula yang berhati-hati hingga mencapai tingkat yang lebih tinggi daripada orang lain. Sabar dan mujahadah, waspada dan tawakal menjadi pemangkin semangat menuju puncak kejayaan. Hamba yang dekat di sisi Allah SWT tidak akan membiarkan dirinya berpaling dari-Nya. Namun demikian dia mengaku bahawa hawa nafsunya kadang-kadang melepaskan ikatan itu dan menyungkurkan dirinya di bawah paras kehinaan dan melupakan Allah SWT. Oleh itu dia suka menambah imannya dengan memperluas kefahamannya dengan ilmu. Masanya banyak dihabiskan untuk membaca, mengkaji dan merenungi kebesaran Allah SWT. Allah berfirman yang bermaksud: ”Dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah bertambahlah iman mereka kerananya.” (Surah Al-Anfal: Ayat 2)
Proses mendekatkan diri kepada Allah SWT memerlukan sedikit usaha kajian, baik teoritis mahupun amali. Proses ini berterusan hingga ke akhir hayat manusia. Tanpa ilmu, kedudukan tertinggi di sisi-Nya hanya impian semata.

iii. Prinsip hidup orang beriman ialah menjual dirinya kepada Allah.
Setiap hari dia mesti mendapat keuntungan daripada perniagaan tersebut. Dia hendaklah menutup harinya dengan tirai audit muhasabah, menyoal untung rugi yang didapat, adakah amalannya bertambah atau berkurangan?
Harta dan jiwa adalah sesuatu yang paling berharga pada diri manusia. Mereka sanggup mengorbankan apa saja untuk mempertahankan keduanya. Harta dan jiwa menjadi modal kebahagiaan, namun demikian ada segolongan manusia yang sanggup melepaskan harta dan jiwanya untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang beriman diri dan harta mereka dengan syurga, mereka berjuang di jalan Allah.” (Surah al-Taubah: Ayat 111)
iv. Tidak takut dengan celaan orang-orang yang suka mencela.
Alkisah seorang lelaki yang bercinta dengan wanita miskin. Semua orang menghina lelaki itu kerana memilih wanita itu menjadi isterinya. Macam-macam komen yang didengar dan sungguh menyakitkan hatinya, tetapi kerana cinta dan kasih yang tulus, dia tidak mempedulikan segala penghinaan dan celaan orang. Begitu bulat hatinya membela sang isteri. Bagaimanakah keadaan orang mukmin jika hatinya telah berada di sisi Allah SWT? Sudah tentu dia tidak akan berasa takut dan malu dengan penghinaan orang yang dengki. Bukankah Allah SWT lebih hebat kuasa-Nya daripada kekuatan manusia? Firman Allah Taala dalam surah Al-Maidah ayat 54 yang bermaksud: ”…kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin dan tegas kepada orang-orang kafir. Yang berjihad di jalan Allah dan tidak takut celaan orang-orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah diberikan kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (pemberiannya) lagi Maha Mengetahui.
Bukan mustahil mendapat gelaran ’hamba yang dekat di sisi-Nya’ jika kita mahu menjejak jalan orang-orang terdahulu, Rasulullah SAW dan para sahabat baginda telah memulakan jalan itu. Tapak bekas kaki mereka masih jelas kelihatan menuju arah yang benar tetapi sifat manusia yang sentiasa lalai dan lupa menjadikan jalan itu kabur pada pandangan mata mereka.
















No comments:

Post a Comment