Beliau dilahirkan sempurna ke dunia ini. Namun, takdir Tuhan mengatasi segala-galanya. Belum puas menatap keindahan ciptaan Maha Esa, nikmat pancaindera yang dikurniakan Illahi selama ini direntap sekelip mata selepas disahkan mengalami kerosakan saraf mata enam tahun lalu. Biarpun perit untuk menyesuaikan diri dalam dunia gelita, Mohd Ashar Misran sentiasa mendidik hati agar bersabar menerima ketentuan Qada’ dan Qadar.

Di saat diri dihimpit keresahan menghidap penyakit sakit buah pinggang kronik, bidadari hatinya, Norlalila Kadri tetap setia berada di sisi Ashar. Berbekalkan bantuan ihsan Lembaga Zakat Selangor, ibu kepada sepuluh orang cahaya mata ini kental membina perniagaan membuat aneka muffin dan roti secara kecil-kecilan bagi menampung hidup mereka sekeluarga. Pendapatan bulanan yang diterimanya sekadar mampu menampung perbelanjaan pendidikan anak-anak dan keperluan harian.

Biarpun terpaksa mengharungi kehidupan sebagai orang  buta, namun masih ada sinar dan rahmat dariNya yang dikurniakan kepada Ashar. Siapa sangka, tiga daripada cahaya mata beliau berjaya melanjutkan pengajian di institusi pendidikan luar negara saat ini. Perbelanjaan pengajian dua daripada mereka dibiayai ahli perniagaan tersohor yang tampil meringankan bebanan keluarga Ashar. Manakala seorang lagi masih menanti ihsan mereka yang prihatin bagi meneruskan pengajian ke luar negara yang dianggarkan lebih RM30,000.

“Meskipun Allah menarik nikmat pancaindera saya, namun siapa menduga sebenarnya Allah mengurniakan rahmat buat seluruh permata hati ini. Orang di luar sana mungkin menilai kami dengan cara mereka, sangsi akan kesusahan yang kami rasai. Sudah rezeki anak-anak untuk meraih nikmat dunia daripada mereka yang prihatin membela nasib anak-anak saya,” jelas Ashar.

Tambahnya, “Biarlah Tuhan menarik nikmat pancaindera saya selagi hidup di atas dunia, asalkan saya tidak buta di akhirat kelak. Ramai dalam kalangan kita, dijadikan Allah serba sempurna. Mampu melihat dunia tetapi tidak ramai yang menghayati kebesaran Allah. Malah paling menyedihkan, ada di antaranya cuba mendustakan nikmat yang telah diberikan kepadanya.”

Hulurkan sumbangan ikhlas anda buat Ashar sekeluarga menikmati kehidupan seperti insan lain ke alamat No. 85, Jalan 4, Taman Jugra Jaya, 42700 Banting, Selangor. Bantuan berbentuk wang tunai juga boleh disalurkan ke akaun Bank Islam, 1207 4020 1014 12 milik Mohd Ashar bin Misran. Ikuti ceritera duka dan semangat Ashar meniti hari-hari seterusnya dalam Nona keluaran September ini.