Kehidupan dunia teramat memikat bagi kebanyakan insan. Betapa ramai di kalangan mereka yang silau dengan  keindahannya sehingga lalai dari mengingati Allah. Justeru, marilah kita hidupkan kembali ketaatan kepada Allah dengan Zikrullah. Hati akan kembali tenang dan  damai, dengan mengingati Allah...

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Lazimilah kamu dengan berzikir Ya zaal Jalali wa al-Ikram.” 
Riwayat al-Bukhari dalam al-Tarikh (2/1256), al-Hakim (1/498-499), Ahmad (4/177), Abu Abdillah bin Mandah dalam al-Ma’rifah (13/ 1) dan dalam Tauhid (72/2), Ibn Asakir dalam Tarikh (6/107/1), semuanya daripada Ibn al-Mubarak. Al-Hakim berkata: Sahih sanad dan muwafaqah oleh al-Zahabi

Pedoman dan Iktibar Hadis

Berdasarkan hadis di atas terdapat banyak fiqh dan faedahnya yang boleh dijadikan pedoman dan juga iktibar.

Antaranya:

Pada jilid yang ke-10 kitab Majmu’ al-Fatawa, karya Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah, dia mengatakan bahawa: Sesungguhnya ibadah yang paling utama setelah ibadah-ibadah wajib adalah zikir. Hal ini sudah pasti menjadi kesepakatan para ulama.

Oleh kerana itu, ada dua jalan yang menghantarkan seorang hamba itu menuju keredaan Allah, iaitu berfikir dan berzikir. Tafakur terhadap pelbagai anugerah dan nikmat Allah SWT, berzikir dengan nama-nama yang indah serta sifat-sifat Allah dan juga zikir yang sesuai dengan syariat.

Apabila orang soleh berkumpul, mereka akan berzikir kepada Allah SWT, sementara orang-orang yang berperilaku buruk dan durjana berkumpul, mereka akan membincangkan hal-hal yang mendekatkan mereka kepada syaitan yang terkutuk.

Zikir orang-orang soleh adalah dengan tasbih, tahmid, bertakbir dan bertahlil sementara zikir orang-orang yang berpaling daripada Allah iaitu dengan nyanyian yang melalaikan, ghibah (mengumpat orang lain), namimah(mengadu domba) dan kekejian. Seorang penyair menggambarkan golongan dengan mengatakan:

Apabila kami sakit, maka kami berubat dengan zikir kepada Allah,
                            Dan tatkala kami tidak berzikir, kami akan jatuh terjerumus.
Dia mengatakan: Wahai Tuhanku, apabila hati kami sakit, ia akan terubat dengan berzikir kepada-Mu, hingga ia sembuh. Sedangkan hati orang-orang yang lalai dan durjana, akan sakit dengan mengingati perbuatan sia-sia dan tidak akan pernah sihat selama-lamanya.
Akan tetapi, bilakah manusia itu berzikir dengan sebanyak-banyaknya kepada Allah? Ibn al-Solah berkata: Sesiapa yang berzikir kepada Allah pada waktu pagi dan petang, ia termasuk dalam golongan orang-orang yang berzikir kepada Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya (sama ada lelaki mahupun perempuan).

Abdullah bin Abbas R.Anhuma mengatakan: Berzikir kepada Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya adalah berzikir kepada-Nya pada waktu siang dan petang, pada waktu bermukim dan musafir dan pada kala susah dan senang.


Sebahagian ulama mengatakan: Berzikir kepada Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya bererti lidahmu tidak kering daripada berzikir kepada-Nya. Dalil yang menunjukkan hal itu adalah hadis Abdullah bin Bisr r.a yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dan Ahmad dengan sanad yang sahih, katanya: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya syariat (ajaran) Islam ini sudah terlalu banyak bagiku, maka khabarkan kepadaku sesuatu yang aku boleh berpegang teguh dengannya.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sentiasa lidahmu basah dengan berzikir kepada Allah SWT.”- Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al-Tirmizi dan Ibn Majah.


Mutiara Hikmah
Penulis melengkapkan perbincangan ini dengan mengemukakan dua mutiara hikmah iaitu:
Pujangga berkata: Ketika banjir sebesar gunung datang, Nuh berteriak: “Wahai Zat yang Maha Penyayang, yang Maha Memberi.”Dalam masa sekejap datanglah pertolongan. Dia selamat sekali gus mendapat keuntungan. Sedangkan orang kafir, telah rugi dan hancur binasa.

Pujangga berkata: Yunus berada di dasar laut dalam tiga kegelapan yang berlapis. Maka dia pun mengirimkan surat kilat yang isinya berupa pengakuan tentang dosa yang pernah dilakukannya. Dengan serta merta pertolongan itu datang tidak ubah kilat. Kelajuan itu berpunca daripada kejujuran doa itu.
Dalam melaksanakan zikir sewajarnya seseorang itu merujuk kepada guru-guru dan para ustaz yang berwibawa agar amalan yang dilakukan benar-benar menepati sunnah.

Al-Fudhail bin Iyadh berkata: Tidak ada satu malam pun yang gelap kecuali Allah berkata:

Siapakah yang mengagungkan anugerah-Ku, pada saat banyak makhluk yang bermaksiat dan Aku mengawasi mereka? Aku menidurkan mereka di atas tilam, seolah-olah mereka tidak pernah menderhakai dan aku menguruskan urusan mereka seolah-olah tiada dosa antara mereka terhadap diri-Ku. Aku tetap memberikan anugerah dan kenikmatan walaupun kepada orang yang menderhaka kepada-Ku.

Oleh kerana itu, siapakah orang yang berdoa kepada-Ku kemudian Aku tidak mengabulkannya? Siapakah orang yang menangis di hadapan pintu-Ku dan Aku membiarkannya sahaja? Aku adalah dermawan dan kedermawan adalah diri-Ku. Dan di antara kedermawanan-Ku, iaitu memberikan kemaafan bagi orang-orang yang pernah bermaksiat.

Dan di antara kemurahan-Ku pula adalah, iaitu memberikan taubat kepada orang yang pernah melakukan maksiat, seolah-olah mereka tidak melakukannya. Maka ke manakah para makhluk-Ku lari dari-Ku? Ke manakah orang-orang yang bermaksiat lari dari pintu-Ku?- Hadis ini dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam kitabal-Hilyah al-Auliya.

Semoga cebisan kisah ini memberi semangat kepada kita umat Islam untuk sentiasa melazimi zikrullah seperti mana yang disebutkan oleh  Imam al-Ghazali  dalam kitabnya Minhaj al-Abidin  - Sejumlah Faedah dan Kelebihan Zikrullah.